Isnin, 22 September 2014

Piramid buku!

 Biasa kita dengar ungkapan: “You are what you eat”. Makanan membentuk jasmani. Elok makanan yang diambil, kesannya dapat dirasa melalui tubuh badan yang sihat.
 Betul, tetapi itu terhad kepada makanan fizikal. Satu bahagian daripada komposisi manusia.

Dari satu sisi yang lain, yang lebih penting ialah ungkapan ini: “You are what you read!”
Anda adalah apa yang anda baca! Pembacaan adalah kunci ilmu. Ilmu pula cahaya yang membentuk minda dan rohani kita. Dua bahagian lagi yang penting daripada komposisi manusia.

Kerana itu, pakar-pakar motivasi memberi formula kepada kita, jika ingin melihat bagaimana keadaan kita 5 tahun akan datang, lihat kepada dua perkara:
 1-  Dengan siapa kita berkawan pada hari ini?
2- Buku apa yang kita baca pada hari ini?

Apa yang kita baca, kita hadamkan akan membentuk minda dan cara kita melihat dunia…jika baik bahan bacaan kita, hasilnya akan terlihat pada kehidupan kita. Jika buruk dan tidak membina bahan bacaannya, sebaliknya akan berlaku. Jika tiada apa yang dibaca, nescaya kehidupan kita tidak ada perubahan, tidak ke mana-mana!

Bermulalah dari sekarang! Memberikan perhatian kepada makanan minda dan rohani kita sehari-hari!
Jika makanan jasmani, ada panduan pemakanan seimbang. Begitu juga dengan makanan minda dan rohani, ada piramid bukunya!



Jika diterjemahkan kepada makanan rohani dan minda:

Baca paling banyak - al-Quran dan al-Hadith. Terjemahan serta tafsirannya. Begitu juga dengan tulisan para ulama' sama ada klasik mahupun kontemporari berkenaan ilmu-ilmu yang digali daripada al-Quran dan al-hadith.

Baca lebih banyak - Buku-buku ilmu aqliyyah bagi menambahkan pengetahuan, kepakaran, kemahiran, profesionalisme dan kecekapan dalam kehidupan.
Contoh: semua buku akademik dan pengkhususan pelbagai bidang, buku-buku yang mengajar celik kewangan, buku-buku mengajar pengurusan rumah tangga dan lain-lain

Baca dengan sederhana - Buku-buku yang menghaluskan hati, membuka minda
Contoh : buku-buku motivasi, buku-buku pengetahuan am, buku-buku novel, cerpen dan sebagainya

Baca sedikit - Bacaan santai dan hiburan
Contoh : komik, majalah dan lain-lain


Jika, buku sudah menjadi makanan harian atau kelaziman, pyramid di atas boleh dijadikan panduan dan koreksi. Di mana lompangnya pembacaan kita? Mungkin kita terlalu banyak memberikan penekanan kepada sesuatu jenis bahan pembacaan, sehingga mengabaikan bahan yang lebih utama!

Benar, sehingga  boleh timbul aduan atau keluhan..dia itu seorang professor, hebat di bidangnya tapi sangat tipis pengetahuannya tentang cara hidup yang diajar oleh agama. Formula matematik atau kewangan di dalam kepalanya, tapi tidak tahu memilih antara yang halal dan yang haram. Boleh terjadi, jika buku-buku aqliyyah dan ilmu fardhu kifayah sangat dihadam, tapi buku-buku asas iaitu al-quran dan al-hadith yang menjadi teras kepada ilmu-ilmu fardhu ain tidak dihadam.

Semoga, perkongsian ini membantu kita membina minda dan rohani kita dengan seimbang…siapa kita 5 tahun lagi, ditentukan dengan apa yang kita baca hari ini! Rancanglah pola pembacaan dari sekarang! Ibu-ibu yang berwawasan, bentuklah masa hadapan anak-anak dari kecil melalui buku dan ilmu yang tepat!

Perkongsian ini merupakan olahan daripada perkongsian Ust pahrol Md Juoi dalam slot Islam itu indah di IKIM.fm - Rabu, 17 september 2014, jam 10.15 – 11.00 pagi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan